Salam semua,
Semalam saya dah cerita kisah masa zaman budak-budak.. Kali ini saya nak bercerita kisah bagaimana saya mula terjebak dalam aktiviti mendaki gunung dan treking meredah hutan mencari air terjun. Semasa saya bersekolah di Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Tun Habab, Kota Tinggi dalam tahun 1983-84 saya sentiasa memandang arah Gunung Panti yang menjadi latarbelakang Bandar Kota Tinggi.. Dalam hati berkata bilalah saya akan dapat sampai ke puncak gunung itu. Hinggalah pada tahun 1985 selesai menduduki peperiksaan STPM, kawan baik saya masa Tingkatan 6, Aminuddin Ayub memberitahu yang adiknya berserta kawan-kawan beliau akan mendaki dan bermalam di Puncak Gunung Panti.
Seperti orang mengantuk disorong bantal, saya terus menyatakan persetujuan untuk mengikuti ekspedisi yang dirancang oleh Yazid iaitu adik kawan saya, Aminuddin. Tarikhnya saya dah lupa, tapi sekitar tahun 1985 bermulalah pengalaman baru dalam hidup saya..mendaki gunung. Saya bersama 5 orang rakan sekampong serta adik saya, Zain berserta Yazid dan kawan-kawannya dari Kampong Bukit Lintang meredah hutan mendaki Gunung Panti mengikut laluan Kg.Bukit Lintang. Sungguh seronok waktu itu, tak terasa pun kepenatan mendaki hingga kami sampai di tapak perkhemahan yang terletak di permatang gunung. Dari situ kami dapat menikmati pemandangan yang begitu indah saujana mata memandang. Sedar tak sedar dah 3 hari 2 malam kami bermastautin di atas puncak G.Panti.
Semenjak balik dari G.Panti pantang ada masa terluang pasti saya akan pergi berkhemah dalam hutan khasnya di kawasan gunung yang terdapat air terjun. Gunung yang sering menjadi sasaran saya waktu itu adalah Gunung Pulai selain Gunung Panti. Sekitar tahun 80an Gunung Pulai begitu terkenal di sekitar kawasan Kulai dan Felda yang berdekatan. Masa tu tiada jalanraya berturap seperti sekarang..hanya jalan laterit yang berdebu menjadi penghubung antara Gunung Pulai dengan dunia luar. Tapi itu semua tak menjadi masalah bagi saya. Minat mengatasi segalanya. Hampir 4 atau 5 kali setahun saya akan berkhemah dan tak ketinggalan mendaki G.Pulai.
Diantara tahun 1885 hingga 1986 selain Gunung Pulai dan Gunung Panti saya turut mendaki Gunung Lambak dan meredah Air Terjun Sungai Yong dan Air Terjun Sungai Cenas. Hinggalah saya terpaksa berhenti dari semua aktiviti pada tahun 1987 kerana mengikuti Kursus Ukuran & Inventori Hutan di Terengganu selama setahun.
No comments:
Post a Comment